Rabu, 05 Mei 2010

Nak tapi tak tahu

Artikel: Nak tapi tak tahu

oleh: Fadzli Yusof

Pelik. Ramai orang bercita-cita untuk berjaya, tetapi enggan untuk melakukan apa yang orang berjaya lakukan. Jika ditanya, apakah impian hidup yang mereka inginkan; dengan tangkas mereka menyenaraikan model kereta dan jenama pakaian yang mahal-mahal. Wajah mereka kelihatan begitu yakin dan ‘bermaruah’. Walhal, mereka tidak sedikit pun sedang berada pada ‘trek’ yang betul untuk mencapai apa yang diangan-angankan.

Lebih teruk, ada yang bercita-cita besar, tetapi tidak pernah pun ‘beriman’ dengan cita-citanya sendiri. Tak yakin dengan apa yang dia inginkan. Cita-citanya hanyalah berfungsi untuk mengisi Borang Biodata Pelajar, ataupun sebagai jawapan kalau-kalau ditanya oleh cikgu.

Nanti dulu. Ada lagi yang lebih teruk. Mereka yang apabila ditanya; Apakah impian anda? Mereka akan menjawab;

“Saya ingin menjadi manusia yang berjaya”. Atau;

“ Saya ingin mencapai cita-cita saya!”. Katanya dengan penuh semangat.

Tetapi, apabila ditanya apa itu ‘manusia berjaya’?, atau apa itu ‘mencapai cita-cita’, mereka akan tergagap-gagap, macam pendatang tanpa izin terserempak dengan pegawai imigresen. Barulah kita tahu bahawa kata-kata ‘manusia berjaya’ dan ‘cita-cita’ itu hanyalah retorik untuk menyedapkan hati sahaja… Mereka sebenarnya tidak pernah mempunyai matlamat hidup.

Makan atau makan-makan?

Satu soalan mudah; apakah perbezaan antara ‘MAKAN’ dengan ‘MAKAN-MAKAN’?. Gambarkan ayat di bawah ini:

a) Saya makan sambil menonton televisyen

b) Saya makan-makan sambil menonton televisyen

Adakah anda mempunyai gambaran yang sama untuk kedua-dua ayat di atas? Saya percaya tidak. Bagaimana pula dengan ayat di bawah:

a) Kamarul sedang bermain bola di padang

b) Kamarul sedang bermain-main bola di padang

Ada beza bukan? Mungkin anda membuat kesimpulan yang tersendiri tentang perbezaan kedua-dua ayat di atas. Di sini, saya ingin nyatakan salah satu perbezaan yang paling ketara; matlamat.

Jika anda makan, bermaksud anda makan dengan matlamat- untuk mengenyangkan dan memberikan tenaga untuk meneruskan hidup. Tetapi kalau ’makan-makan’, ianya hanyalah aktiviti sambilan untuk dilakukan semasa menonton televisyen. Begitu juga dengan ’ bermain bola’. Ia memberi maksud Kamarul sedang bermain dalam satu perlawanan; dengan matlamat untuk menjaringkan gol dan menang. Tetapi kalau sekadar ’bermain-main’, adakah ia memberi maksud yang sama? ’Bermain-main bola’ bunyinya seperti orang yang sekadar menyepak-nyepak bola tanpa matlamat untuk memenangi sesuatu permainan.

Bagaimana dengan hidup anda? Adakah anda sedang HIDUP, atau sekadar HIDUP-HIDUPAN? Adakah hidup anda terarah kepada sesuatu matlamat, atau sekadar mengikut rentak semasa dan rutin harian sahaja?

Hidup tanpa matlamat: Hidup-hidupan

Ada seorang peserta program pernah bertanya kepada saya, “Encik Fadzli, kalau saya tidak menetapkan matlamat, apa salahnya?”. Saya senyum kepadanya dan berpaling kepada semua peserta.

” Kalau anda semua hendakkan pokok durian, apakah benih yang anda perlu tanam?” . Saya bertanya kepada semua.

”Benih durian!!”. Jawab mereka. Mudah sahaja.

”Kalau anda semua nakkan pokok rambutan? Apa benih?”. Provok saya lagi. Sekali lagi mereka begitu yakin menjawab ’benih rambutan’.

” Para remaja sekalian, prinsip hidup pun tidak jauh bezanya dengan prinsip pokok tadi. Jika anda tanam benih rambutan, anda akan dapat pokok rambutan, dan anda akan petik buah rambutan. Apa yang anda tanam, itulah nanti yang akan dipetik!”. Saya teringat salah satu lirik lagu.

Para peserta yang terdiri daripada remaja masih lagi cuba mengaitkan penerangan saya dengan soalan di awal tadi. Mereka menunggu penjelasan saya yang seterusnya. Tetapi saya hendak bertanya satu lagi soalan.

“ Soalan terakhir, kalau anda nak satu hektar tanah anda tumbuh dengan lalang, apa yang anda perlu tanam?” Saya mengangkat kening. Mereka tidak pula menjawab ‘benih lalang’ secara beramai-ramai.

“ Tak perlu tanam apa-apa…” jawab seorang peserta di hadapan saya.

“Yaa!! Tepat sekali! Kalau anda nak tanah anda dipenuhi semak dan lalang, anda tidak perlu berbuat apa-apa. Tetapi jika anda nak tanah tersebut dipenuhi dengan tanaman, anda perlu menanam apa jua benih tanaman yang anda inginkan.” Saya menjelaskan.

“ Begitu juga dengan hidup ini. Kalau anda inginkan ‘buah yang manis’ pada masa akan datang, anda perlulah ‘menanam benih buah yang manis’ hari ini. Ertinya, jika anda hendak menjadi arkitek 10 tahun lagi, anda perlulah ‘menanam benih’ untuk menjadi arkitek. Kalau anda hendak menjadi usahawan, anda perlulah ‘menanam benih’ menjadi usahawan…” Sambung saya lagi

“ Tetapi… kalau anda tidak berbuat apa-apa, apakah ‘hasil tanaman’ yang bakal anda petik 10 tahun lagi?” Saya memandang tepat ke arah mata para peserta. Satu persatu. Kelihatan mata mereka bercahaya. Nampak seperti memahami sesuatu.

“ Jika anda tidak berbuat apa-apa sekarang, apa yang anda dapat dalam kehidupan anda 10 tahun lagi ialah; hanya semak dan lalang yang tidak membahagiakan hidup anda. Anda hanya mengikut rutin harian dan rentak semasa. Anda tiada ‘benih’ yang ditanam. Anda biarkan masa dalam hidup anda dipenuhi oleh semak dan lalang. Dan akhir sekali, itulah kehidupan anda”

*(Artikel ini adalah adaptasi daripada buku Kuasa Hijrah, Kuasa Untuk Berubah)

Tidak ada komentar: